Monday, January 19, 2009

Selamat Tinggal Dunia.....Selamat Jalan Bapak ke Alam Abadi

Malam itu malam Khamis 14/1/2009. Sedang kami menikmati makan malam, suamiku menerima kiriman sms daripada abangnya mengatakan Bapak tenat. Suamiku seperti kelu lidah, diam... dan air matanya bergenang sebak. Kika dan Min tertanya-tanya "Kenapa papa...kenapa dgn atuk". Aku cuba mententeramkan suamiku...sabarlah bang, nanti kita balik tengok bapak ya! Suamiku kata Apak minta pulang ke rumah di Raub setelah 2-3 minggu menderita sakit di Bentong rumah abang iparku.

Bapak atau Apak adalah bapa mertuaku yang amat pendiam tetapi sgt baik hati dan tak pernah dalam tujuh tahun usia perkahwinanku melihat dia marah. Apak mengalami masalah pendengaran ketika pertengahan usia, hingga menjadikan dia kurang bercakap dan hanya buka mulut pada orang tertentu saja. Mungkin Apak rasa yang kekurangannya akan menimbulkan kesulitan kepada mereka yang bersembang dgnnya, sbb itu Apak lebih memencilkan diri dan hanya senyumannya memberi jawapan sama ada dia gembira atau sebaliknya.

Sebenarnya, kami dah balik ke Pahang ziarah Apak minggu lepas. Jelas sekali diwajahnya ketika itu Apak menanggung sakit yang amat sangat. Apak sebenarnya menderita diabetes kronik sejak setahun yang lepas. Sebelum diketahui sakit, Apak nampak sangat cergas walaupun pada usia yang agak lanjut. Susah betul nak tengok Apak lekat di rumah, ada saja xtvt outdoor nya hingga Mak selalu duduk rumah keseorangan. Ziarah kami waktu itu, aku lihat Apak amat lemah, tak mahu makan, cakap bila perlu dan tak mau buang air (mungkin sbb x makan & x minum kot). Apak hanya berbaring lesu dan tak mahu langsung sebarang ubat-ubatan doktor. Hati aku terdetik sesuatu bila lihat mata Apak yang tidak bercahaya...ahhhh, aku membuang jauh2 lintasan hati itu sebab umur, hidup dan mati ini milik Allah, hanya Dia saja yang mengetahui di atas setiap sesuatu. Sempat jugalah aku dan suamiku membacakan surah yassin ketika ziarah kami pada 10-11/1/2009 di Bentong hari tu.

Aku pujuk suamiku, sama-sama kami berdoa untuk kesejahteraan apak dunia dan akhirat....berkali2 ku katakan pada suamiku, kita bukan minta dia pergi, tapi sekadar berserah dan berdoa pada Allah...mana yang terbaik buat Apak, minta Allah pelihara dan permudahkan urusan kesihatan Apak. Aku tahu bagaimana gundah gulananya hati suamiku malam itu...tak lekang telefon dari tangannya dan asyik berbalas2 sms dgn adik beradiknya. Dan malam itu, di dalam bilik peraduan kami, sambil berbaring aku menenangkan hatinya...kami berbicara soal hidup dan mati, soal kasih sayang, soal pahala dosa....dan bermacam2 lagi untuk aku melarikan fokus fikirannya yang sedang runsing.....malam itu selepas membaca nama Tuhan kami terlena...dan suamiku dan aku merancang untuk menziarahi Apak pada petang Jumaat...itupun bergantung pada kondisi Apak, kalau tidak mengizinkan...kami akan pulang segera!

Rutin pagi seperti biasa, kami mengejar masa menghantar Kika dan Min ke sekolah. Dan, ketika selesai aku bersarapan di pejabat,...telefon berdering! Aku mendengar ada getar sebak pada suara kekasih hatiku ini memberitahu yang Apak sedang tenat, amat tenat seperti perkhabaran keluarga di kampung. Suami suruh aku bersedia untuk pulang menziarahi apak hari Khamis itu juga. Aku buat apa yang patut, menulis surat untuk sekolah Kika (kebetulan Kika sekolah ganti hari Sabtu) dan menguruskan kerja-kerja yang perlu dilangsaikan hari itu...dalam hati berdebar-debar sebab bimbangkan keadaan Apak dan masa yang sama amat simpati pada suamiku...Ya Allah, permudahkanlah urusan kami untuk menemui Apak.

Petang itu, setelah bersiap ala kadar dan apa yang patut...kami memulakan perjalanan ke Raub, Pahang...tempat asal suamiku. Kami pulang berbekalkan 4 buah surah Yassin dan hati yang pasrah dan redha dengan ketentuan Allah. Kami amat berharap agar sempat bertemu Apak , memohon ampun...mengucup dahi Apak dan mendoakan kebaikan kepada Apak agar dipermudahkan segalanya. Perjalanan malam itu ku rasa amat panjang dan menjemukan...anak-anak sudah lama lena tertidur di tempat duduk belakang. Kami sampai di rumah lebih kurang pukul 10.30 malam. Betapa sebaknya hati melihat Apak begitu lemah di pembaringan... Abang Tam, dan Kak Long berada di sisi Apak...membaca ayat-ayat suci Al-Quran sambil mengusap lembut tangan & badan Apak. Adik beradik suamiku yang 11 orang itu hampir 70% telah berada di rumah. Riuh rendah rumah Apak dengan suara anak cucu yang masih belum benar-benar mengerti yang atuk kesayangan mereka sedang berperang antara hidup dan mati. Selepas solat dan makan, aku dan suamiku sama-sama membaca Yassin dan berdoa untuk Apak...Apak diam dan senyap....hanya nafasnya turun naik saja yg kelihatan.

Aku terlalu letih malam itu, perjalanan jauh dan suasana kelam kabut di pejabat & rumah menyebabkan aku terlena bersama anak-anak. Tepat jam 4.30 pagi aku terjaga, terdengar sayup-sayup bacaan Yassin...rupanya suamiku bersama Abang Tam berjaga sepanjang malam menemankan Apak. Aku segera mengambil wuduk, meminta suami aku tidur kerana memang dia keletihan sebab penat memandu dari Melaka...bersama Abang Tam, aku membaca Yassin...dan tak henti-henti membisikkan kalimah suci di telinga Apak..."Laillahaillallah"...Entah datang dari mana kekuatan, aku sendiri tidak tahu...aku terus membaca yassin sehingga Subuh dan selepas solat Subuh tanpa henti...terasa benar yg Apak meminta bantuan kami semua untuk berbakti kepadanya di saat-saat akhir...ketika aku memandang wajah Apak, terasa kesayuan seperti aku memandang wajah ayahku sendiri (yang ketika itu sedang sakit di kg. kerana athsma yang on/off).Di saat itu terfikir, satu hari nanti jika ada peluang dan kesempatan aku ingin sekali membaca ayat-ayat suci Allah untuk dipermudahkan perjalanan akhir ayah dan ibuku...Insyaallah. Ketika itu aku baru terasa betapa sayangnya aku pada bapa mertuaku yang selama ini aku tidak tahu bagaimana untuk bersembang & berbual. Selama ini aku hanya bersalaman dengan Apak ketika sampai dan ketika ingin pulang semula, sesekali membelikan dia hadiah, mengajak dia makan dengan isyarat, menghidangkan makanan dgn suasana bisu dan senyap...aku hanya menantu perempuan Apak. Dan pagi itu tanpa sedar aku berapa kali mengusap lembut dahi dan ubun-ubun Apak dgn bacaan Alam Nasyrah, minta Allah permudahkan Sakaratul Maut Apak...tanpa malu dan ragu aku mengucup dahi Apak, mengucapkan kalimah suci Allah di telinga Apak...memegang jari Apak untuk bersaksi atas nama Allah yang telah memberi kehidupan. Sesekali Apak membuka mata dengan pandangan yang tidak bercahaya...basah pipiku melihat Apak yang selama ini telah berkorban apa sahaja membesarkan suamiku dari kecil sehingga dewasa. Inilah saja tanda kasih sayangku yang terpendam selama ini, aku sayangkan Apak dan aku tak ingin melepaskan peluang ini berbakti pada Apak di saat-saat akhir dalam sejarah hayatnya.

Dan Jumaat 16/1/2009 itu seperti murung dengan cahaya mata hari yang redup dan lembut dan sesekali kelihatan mendung. Sehingga tengahari, terdapat sedikit tanda-tanda keadaan Apak semakin tenat dan uzur...aku berhenti rehat seketika di tangga depan bersama suamiku...aku mengajak suamiku sama-sama berdoa semoga ada rezeki Apak untuk menemui Allah di hari Jumaat yang mulia itu. Maaf sayangku, bukan niatku mendoakan Apakmu pergi cepat, tetapi untuk merebut kemuliaan Jumaat. Tak sedar gugur air mata kami berdua ketika itu....berkali2 aku menadah tangan memohon Allah perkenankan doa hambaNya yang hina dan kerdil ini....Ya Allah permudahkanlah, berilah peluang Apak menjadi Ahli JumaatMu.

Dan ketika semua kaum Adam di rumah berada di Masjid utk solat Jumaat, keadaan Apak semakin lemah, ku lihat Kak Long, Kak Ngah dan Ina (anak bongsu Apak) sebak tak terkata...biras-birasku silih berganti membaca Yassin...aku terus membisikkan kalimah suci di telinga Apak..."Pak, Apak dengar kan ...Apak ikut dengan yakin ya...." aku ulang kalimah syahadah berkali-kali dan kulihat Apak menggerakkan matanya. Kak Ngah mewakilkan aku untuk memohon ampun & maaf bagi pihak mak dan ke-11 anak2 & menantu Apak serta cucu yg seramai 39 orang, mohon dihalalkan makan minum, dan mohon Allah memudahkan Apak pergi menemuiNya. Mak begitu tenang di sisi Apak...mak sebak, tetapi tidak menangis, cucu perempuan & lelaki (yg kecil) penuh mengelilingi Apak ketika itu...semuanya menangis sebak melihat saat2 akhir Apak...suara Kak Nani dan Kak Long yang sayu membaca Yassin menambah kehibaan di hati kami...bila kulihat Apak semakin lemah, hati aku berdebar...sempatkah jemaah Masjid sampai ke rumah...aku mohon Allah permudahkan segalanya. Dengan air mata yang deras mengalir aku minta kami semua membaca Yassin dan silih berganti solat Zuhur...Alhamdulillah ketika aku selesai solat, orang lelaki pun pulang bersama-sama org Masjid yang kami undang untuk membaca Yassin mendoakan kesejahteraan Apak. Memang kami berhasrat buat kenduri kecil untuk bacaan Yassin spt malam sebelumnya.

Bacaan Yassin bergema di ruang tamu oleh jemaah Masjid, mak ada di sisi kanan Apak, adik beradik lelaki suamiku ada di sekeliling Apak, suamiku berada di bhgn kaki degan wajah yg tenang tetapi sebak sekali. Kami anak & menantu perempuan di bahagian kepala Apak...sama-sama membaca kalimah suci Allah dengan memerhatikan nafas Apak yg semakin lemah naik dan turun...ku lihat Abang Tam begitu terharu membisikkan kalimah Allah di telinga Apak...dan ketika Ayat Yassin terakhir dibacakan, kami tidak nampak dada Apak bergetar...suamiku segera memeriksa nadi, kelihatan seperti tiada...senyap sunyi rumah, yang ada adalah suara terputus2 suamiku dan abg Tam mengucapkan syahadah....dan tidak akan dicepatkan atau dilambatkan kepergian anak Adam menemui Penciptanya...Apak pergi dengan wajah yang tenang tepat pukul 2.55 petang Jumaat 19 Muharram 1430H bersamaan 16 Januari 2009. Malaikat maut datang menjemput Apak ketika seisi rumah khusyuk dan tawaduk mengalunkan ayat suci Al-quran dari surah Yassin, dan seperti mana tamatnya membaca ayat yg terakhir...Apak pergi dengan tenang, malah tanpa sedikit najis pun yang keluar kerana Apak sudah lama tiada selera makan, dan kerana itu fizikal Apak bersih. Alhamdulillah, Maha Suci Allah Yang Menciptakan...hari itu air mataku mengalir laju meyaksikan kebenaran ayat-ayat Allah bahawa sakaratul maut itu benar, mati itu benar, alam kubur itu benar....dan sesungguhnya ia begitu menginsafkan aku!

Petang yang hening itu juga kami sepakat untuk mengebumikan Apak selepas Asar. Saudara mara berkumpul jauh dan dekat, cuma sedikit terkilan kerana Ilah adik iparku yg berada di sabah tidak dapat melihat arwah Apak. Ilah mengambil flight petang itu juga dari Labuan, dan dijadualkan sampai di KLIA pukul 7.20 malam.

memang rezeki Apak agaknya, ramai sungguh sahabat dan jiran tetangga yang melawat dan mensedekahkan bacaan Al-fatihah dan Yassin silih berganti sehingga detik Apak dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Beruntung Apak kerana dikurniakan anak-anak yang ramai sehingga 11 orang, dan 7 daripadanya adalah lelaki. Apak dimandikan, disembahyangkan, dipikul keranda dan disemadikan dengan kudrat anak-anak & cucu lelakinya dengan sedikit bantuan dan panduan daripada mereka yang bertugas menyempurnakan mayat di kampung. Terharu aku melihat suamiku Hamizul begitu gigih dan tenang berbakti pada saat akhir Apaknya.

Pukul 6.05 ptg Apak disemadikan di liang lahat, bacaan tahlil dan talkin dijalankan di perkuburan. Tegak bulu romaku mendengar talkin yang dibaca sbg peringatan dan keinsafan kepada kita yg masih hidup. Jelas dan terang suara imam muda (Cucu apak) itu membaca doa dan memberi peringatan terakhir buat arwah Apak...Aku pasrah ketika itu... Inilah kali pertama aku mendengar talkin dibaca secara langsung, Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku dan permudahkanlah urusan hidup dan matiku...dan semuanya selasai pada pukul 6.50 petang. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.

Selamat Tinggal Apak...Selamat Tinggal Dunia yang sementara....Maka terpisahlah kami setelah Apak mendahului ke Negeri Akhirat yang Abadi...Semoga Apak mendapat syafaat sebagai Ahli Jumaat yang dimuliakan Allah seperti hadis Nabi yang menyebut sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya, akan lepas dari siksaan kubur sehingga hari Kiamat, sekiranya dia beriman. Semoga Apak tenang di sana...dan tergolong bersama orang-orang yg beriman dan bertaqwa. Al-Fatihah...

No comments: