25/5/2011
Sampai di rumah lebih kurang pukul 10.15 pagi....di halaman sesak dengan kenderaan adik beradik dan sedara mara. Semasa aku baru melangkah 2-3 tapak sambil mendukung Adelle, kaki aku lembik dan rasa macam nak tergolek terlanggar batu...rupanya fokus aku hanya pada mayat ayah yang diletakkan di beranda rumah. Mujur aku tak jatuh masa tu. Air mata sudah tak henti menitis....aku beri salam pada jasad ayah tetapi masih tak berdaya untuk menyelak kain putih yang menutup wajahnya. Aku ingin berjumpa dengan mak dulu, masuk ke dalam aku dah tak hiraukan tetamu yg semakin ramai...aku ke bilik mak, mak sedang mencari barang untuk disedekahkan pada orang yang menguruskan mayat. Aku peluk mak erat2...tak ada perkataan yang keluar dari mulut mak...cuma air matanya yang menerangkan segala-galanya.
Selesai berwuduk, aku pergi semula ke mayat ayah. Ada 3 orang lelaki jiran tetangga kami yang sedang membacakan Yassin di sisi ayah. Aku memanggil anak2 untuk menatap wajah ayah. Bila ku selak kain putih, apa yang aku nampak adalah wajah ayah yang amat tenang seolah sedang tidur...kulit ayah yang asalnya hitam manis, kelihatan kekuningan sama seperti wajah arwah Andak dahulu. Alhamdulillah....Ku kucup dahi dan pipi ayah...ada damai di situ bila kami bersentuhan. "Ayah, Adik mohon ampun maaf atas segala dosa-dosa yang Adik lakukan, halalkan makan minum Adik sejak Adik dilahirkan sehinggalah hari ini, Adik mohon ampun tak dapat pulang hari itu..." suara ku terputus2 dan lafaz itu ada yang terluah dan ada yang kusebut dalam hati. Terasa sangat syahdu dan macam tak percaya jasad ayah yang terbaring itu sudah tidak bernyawa lagi. Anak-anakku yang menangis teresak2 silih berganti mengucup atuknya. Kika dan Min memang rapat dengan atuk sejak mereka lahir lagi. Aku segera membaca Yassin tanpa menghiraukan orang sekeliling...entah bila Mizul mengambil Adelle dari ribaanku pun aku tak sedar. Aku ingin membaca Yassin sebanyak yang mungkin sebelum ayahku dikebumikan. Adik beradik ipar duai serta sedara terdekat silih berganti membaca yassin di sekeliling ayah. Jemaah masjid dan jiran tetangga terdiri dari kumpulan lelaki dan kaum ibu membuat tahlil untuk ayah kemudiannya. Ramai yang datang menziarahi ayah sebab ayah di antara orang tua yang panjang usia di kampungku. Ramai kawan dan jiran yang seusia ayah sudah lama pergi dulu sebelum ayah.
Ayah dimandikan oleh 3 orang jiran yang bertugas menyempurnakan mayat dan dibantu oleh abangku Etam, Acik Syukri dan suamiku Mizul. Sedih sebab Uda anak lelaki sulung ayah masih belum sampai. Andak pula sudah terlebih dahulu bertemu Allah. Alhamdulillah jasad ayahku bersih tanpa najis walaupun arwah meninggal mengejut dan baru pulang dari minum pagi di kedai. Selesai mandi ayah dikafankan. Semuanya berjalan dengan lancar dan baik. Cuma sedikit risau menanti keluarga Angah dan Uda yang masih belum sampai dari JB. Mayat tidak boleh disimpan lama dan perlu segera dikebumikan dan aku tahu Uda dan Angah telah usahakan yang terbaik. Semoga mereka sempat sampai nanti...
Sebelum ayah disembahyangkan, Imam memanggil kami sekeluarga mengucup ayah buat kali terakhir...saat ini memang pilu bila seorang demi seorang mengucup ayah. Mak mendoakan ayah selamat pergi...mohon ayah redhakan mak sepanjang menjadi suami isteri. Uda dan Angah masih belum sampai....jemaah solat jenazah sudah mengambil tempat. Ayah selamat disembahyangkan. Etam berbincang dengan jawatankuasa pengurusan mayat untuk memberi sedikit masa lagi selepas solat jenazah selesai utk memberi peluang pada anak cucu yang belum sampai. Akhirnya imam mencadangkan agar ayah dikebumikan sejurus selepas solat zuhur di Masjid. Semasa kami adik beradik membaca Yassin, Uda pun sampai dan 15 minit kemudian Angah pula sampai. Alhamdulillah...
Selesai solat Zuhur di masjid ayah sekali lagi disembahyangkan oleh jemaah yang hadir. Kami sama-sama memohon doa agar segala urusan ayah dipermudahkan. Aku solat jenazah sambil mendukung Adelle sebab dia meragam tak boleh tinggal dengan sedara mara di rumah. Selesai solat ayah dikebumikan. Aku tak pergi ke kubur sebab keadaan tidak sesuai dengan Adelle yang masih kecil. Kawasan perkuburan amat dekat dengan masjid dan boleh terdengar sayup-sayup talkin dibaca. Setelah selesai pengkebumian dan jemaah beredar, tinggal kami anak beranak dan sedara terdekat menyiram air yassin dan menabur bunga. Waktu itu baru aku dapat ke kubur ayah sebab Adelle dah diserahkan pada Mizul. Aku lihat Angah amat sedih, ku peluk Angah...tiba-tiba Angah rebah, pengsan dalam dakapanku. Angah diusung ke masjid, air mata aku sekali lagi tumpah ketika menolong mengangkat Angah...ini kali kedua Angah pengsan kerana kali pertama dia pengsan di tempat kerja ketika mendapat berita pagi tadi. Angah memang anak ayah...iya anak perempuan yang paling baik budi dengan ayah...kalau Angah balik, ayah akan sembang macam2 dengan Angah, dan Angah akan masak macam2 utk ayah...Jalinan kasih ayah dan anak perempuannya yang seorang ini amat utuh. Hati siapa yang tidak luluh melihat kejadian ini...Sabarlah Angah, ayah pergi bertemu penciptaNya.
Allah telah makbulkan doa ayah untuk pergi tanpa menyusahkan sesiapa...tak menyusahkan anak dan isteri malah tiada tanda -tanda langsung ayah akan diserang asthma yang sebati dengannya pagi itu. Memang ayah pernah berdoa kalau ayah pergi nanti biarlah dengan sakit asthmanya bukan dengan penyakit lain yang ayah tidak biasa. Acik ke sekolah macam biasa, ayah keluar minum pagi macam biasa. pulang dari minum ayah memanggil mak di halaman untuk melihat air parit di depan rumah sebab malam sebelumnya hujan turun lebat mencurah-curah, yang luar biasa lebatnya. Bila mak sampai, ayah tiba-tiba terbatuk2 kecil...sesak nafas dan cuba gunakan inhaler tapi ayah terbawa inhaler yang dah habis. Semua itu asbab kematian ayah, sebenarnya janji Allah telah sampai waktu itu...tidak cepat dan lambat sesaat. Bila mak lihat ayah susah bernafas, mak memanggil abang iparku Acik Syukri yang hendak pergi ke pejabat. Acik Syukri sempat mengurut dada ayah dengan minyak angin, tapi ayah semakin lemah. Hanya nafas ayah yang turun naik dan kalimah Allah tidak putus dari sebutannya. Ayah rebah diatas Acik Syukri semasa sedang dipapah masuk kereta...menurut mak sepanjang dalam kereta ayah cuma diam, mata tertutup dan sesekali menarik nafas....mak panik tapi masih berdoa agar ayah dapat diselamatkan. Sampai di Klinik Kesihatan, MA mengesahkan ayah sudah tiada. Mungkin ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dalam perjalanan ke Klinik. Ayah pergi di sisi isterinya yang tercinta, isteri yang setia di samping ayah ketika susah dan senang lebih dari separuh abad lamanya.
Ayahku meninggalkan kami semua bertemu yang hak pada 25 Mei 2011 pada usianya 81 tahun. Damailah Ayahanda Hj Jamal Bin Hj Mohd Ariff di sana.Ya Allah, kami redha dengan pemergiannya dan memohon agar Kau ampunkanlah dosa-dosa ayahku. Kau jauhkanlah dia dari azab api neraka dan Kau ringankan seksa kuburnya.Semoga roh ayah ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Semoga segala amal kebaikan yang pernah ayah lakukan diterima Alalh dan menjadi bekalannya di akhirat.Dan kami memohon agar Kau jadikan kami anak-anaknya sebagai anak yg soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan arwah sehingga akhir hayat kami. Insyaallah....
AL-FATIHAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment