Wednesday, March 17, 2010

Anak Lelaki atau Anak Perempuan?

Kandunganku telah masuk 6 bulan lebih...kalau ikut due yg doktor jangkakan, aku akan melahirkan anak ketigaku pada 28 June ini, Insyaallah. Sekarang ni, kalau ke mana-mana tak ada soalan lain yang orang akan tanya, "dah scan?" , "boy or girl?", "anak perempuan dah ramai, mintak2 yg ni lelaki lah ya...", "tak kan perempuan lagi kot, doalah kali ni lelaki...", "eh, ko ni jangan nak beranak perempuan lagi, kalau nak laki sayang...bagi sorang cukup lah anak lelaki" dan banyak lagi soalan2 dan permintaan orang keliling yang patut atau tak patut diucapkan pada aku ni....kesian aku, mentang-mentanglah tak ada lagi anak lelaki...macam teruk sangat kalau bayi ku kali ini seorang perempuan lagi....

Tertekan?...entahlah...siapa yg berada dalam kedudukan aku saja yang faham agaknya...Sebagai ibu, aku redha apa saja yang Allah kurniakan...siapalah aku menolak qada dan qadar Allah. Kalau ikut keluarga sebelah suami, memang dia orang kaya dengan anak lelaki...adik beradik suamiku saja ada 7 orang lelaki...tentulah anak lelaki menjadi kebanggaan orang Pahang. Malah, suamiku saja satu-satunya yang masih belum ada zuriat lelaki...yang lain2 memang bilangan anak lelaki mengatasi anak perempuan....Sebelah keluargaku pula, adik beradikku lebih ramai perempuan berbanding lelaki...cucu2 mak pun lebih ramai perempuan berbanding lelaki...tapi, satu-satunya couple yang masih belum ada anak lelaki, tentulah aku. Aduhaiiii, serba salah aku dibuatnya kali ini....

Siapa yang tak mahu hidup sempurna?...siapa yang tak mahu setiap yang dihajati tu jadi kenyataan?...tapi, hidup ini penuh dugaan, cabaran, rintangan...semua itulah yang menguji keimanan kita. Bagi aku, yang amat penting biarlah bayiku nanti lahir sempurna, sihat tubuh badan, baik akhlak dan kelakuan, moga jadi anak yang soleh/solehah, berbakti kepada ibu bapa dan menjadi anak yang bakal mendoakan aku apabila aku tiada kelak. Lelaki atau perempuan, biarlah Allah mengurniakan yang terbaik buatku....yang penting, bagaimana amanah Allah itu nanti akan ku didik, ku asuh dan ku jaga agar menjadi insan beriman kepada Allah dan Rasul.

Aku pasrah....redha dan bertawakal. Semoga Allah kuatkan imanku...

ni, ada petikan artikel dari majalah Pa& Ma untuk kita kongsikan bersama...



Jantina anak serah pada ketentuan ILAHI


Bolehkah kita mencampuri kerja Tuhan? Penganut agama Islam sewajarnya berpegang teguh pada rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar. Menerima apa sahaja ketentuan dan takdir yang telah ditetapkan menjadi kewajipan bagi setiap muslim.
Soal zuriat dan jantina anak bukan menjadi urusan kita namun sebagai manusia kita boleh merancang dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diingini. Menurut Ustaz Mohd Ali Tuah, pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Allah SWT sudah menentukan jantina setiap anak sejak di luh mahfuz lagi.

"Semasa janin dalam rahim ibu berusia 120 hari, malaikat akan datang menulis rezeki, jantina, ajal, maut, jodoh, hidup bahagia atau tidak setiap hambanya mengikut ilmu Allah. Bagaimanapun ia boleh berubah jika orang itu berdoa dan berusaha apabila dia hidup kelak dengan keizinan Allah jua,” terangnya sambil menegaskan segala urusan kehidupan manusia sudah ditentukan dari A – Z sejak azali lagi.

Dalam soal merancang jantina anak, Ustaz Mohd Ali menegaskan sebarang rawatan menggunakan teknologi sains perubatan boleh dilakukan asalkan ia ada alasan yang mendesak (darurat) dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurutnya lagi, sebagai manusia kita digalakkan berusaha, berikhtiar dan berdoa jika mahukan sesuatu. Usaha berdoa terbahagi kepada dua iaitu doa qauliyyah (melalui perkataan) dan doa fi’liyyah (melalui perbuatan seperti pemakanan, pengambilan ubat atau herba dalam soal merancang jantina anak).

“Jika pasangan sudah memiliki ramai anak perempuan dan mahukan anak lelaki maka berusaha dan berdoalah pada Allah agar dikurniakan anak lelaki pula. Jika Allah perkenankan doa tersebut maka makbullah permintaannya.
Seperti mana kisah Maryam iaitu ketika dia berada dalam saat-saat genting selepas melahirkan anaknya Nabi Isa a.s. Tiba-tiba Nabi Isa bercakap “kau goncanglah pokok tamar, nescaya akan berguguranlah buah tamar itu.”

Maka Maryam yang keletihan selepas melahirkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukannya. Dengan keizinan Allah, gugurlah buah tamar,” ceritanya memberikan salah satu contoh usaha ikhtiar yang dimakbulkan Allah.

Kita sepatutnya sentiasa bersangka baik dengan dugaan atau apa sahaja yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Setiap ibu bapa perlu ditekankan tentang keyakinan mengikut ilmu yang dipelajari. Sesungguhnya apa yang Allah SWT tentukan itu adalah lebih baik daripada apa yang kita harapkan.

Tambah Ustaz Mohd Ali lagi, setiap yang Allah kurniakan kepada kita ada rahsia di sebaliknya yang kita sebagai hamba-Nya tidak tahu sama sekali. Sebaiknya kita redha dengan amanah (anak) Allah dan didik mereka dengan sebaiknya.
“Terima sahaja ketentuan Allah kerana ada hikmah yang tersembunyi. Walaupun sudah amalkan pemakanan dan lain-lain usaha untuk mendapat anak jantina tertentu tetapi jika tidak mendapatnya janganlah berasa kecewa. Redha dengan ketentuan Allah. Walaupun semua anak yang dimiliki adalah perempuan, bersyukurlah kerana ketahuilah bahawa setiap anak perempuan akan mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah di akhirat kelak,” katanya.

Beliau turut memberitahu ada Hadis Nabi yang bermaksud “sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan mendidiknya menjadi anak yang solehah maka aku dan dia seperti ini (Rasulullah mengangkat jari telunjuk dan jari tengahnya) menggambarkan rapatnya hubungan bapa anak perempuan itu dengan Baginda.

Sahabat bertanya kalau dua anak perempuan? Ya jawab Rasulullah lagi.Maknanya mendidik anak perempuan juga ada kelebihannya.

Kesimpulannya, penentuan jantina anak patut kita serahkan kepada Allah SWT. Apa yang penting sebagai ibu bapa kita didik mereka (anak lelaki atau perempuan) menjadi anak yang soleh/solehah dengan sebaiknya tanpa berasa kecewa dengan jantina anak yang dikurniakan.

1 comment:

Yenny said...

kasus yang sama dengan saya..